Khamis, 27 Ogos 2009

Episod 1.1

Sebagai orang baru dalam hal catat-mencatat di ruang blog ini, MD mengaku hari ini rasa agak teruja (biasalah... hari pertama). Kalau boleh nak bercerita dari pagi sampai dinihari (tak kisah kalau tak ada pembaca pun). Catatan, biasanya dalam bentuk diari, adalah untuk tatapan mata sendiri tapi disebabkan adanya kemudahan IT, bolehlah kita berkongsi cerita dengan orang lain (mana tahu kut-kut ada orang yang mengikuti episod ini).
Dalam episod 1, MD sentuh tentang Ramadhan, pembaziran dan bazaar yang mana dah jadi budaya kita orang Malaysia. Dalam 1.1 ini MD nak hurai sedikit lagi, maklumlah ada banyak hari lagi kita berpuasa dengan izin Tuhan. Dari sudut positifnya, dengan cuaca yang redup, selalunya hujan setiap petang bagai satu nikmat pula bagi MD kerana kuranglah panas terik hingga kering tekak. Kalau letih, cuaca yang nyaman sebegini memang sedap tidur. Mudah-mudahan hujan yang turun turut membasuh jerebu dan asap kenderaan yang mencemari bumi serta membasuh permukaan kotor yang dihinggapi virus H1N1.
Dari sudut negatifnya, walaupun MD tak ke bazaar Ramadhan, MD kesian juga mengenangkan peniaga-peniaga kecil kita yang mengharapkan untung dari perniagaan di bazaar itu. Bila petang-petang hujan, mungkinkah mereka mengeluh? Menitiskah airmata mereka melihat juadah yang ingin dijual habis basah terkena tempiasnya hujan? Tuhan lebih mengetahui isi hati mereka dan mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Jadinya, yang penting kita berusaha, jangan putus asa dari mengharap rahmat Tuhan.
MD ingin terus berusaha untuk tidak membazir tapi kalaulah dengan pergi ke bazaar Ramadhan dapat menimbulkan kegembiraan peniaga-peniaga yang mengharapkan kunjungan kita, kerana dari pukul 2 petang tadi mereka dah ternanti-nanti.. datang ke tak orang ke gerai aku ni? Habis ke tidak jualan aku hari ini? Langit dah mendung, hari nampaknya semakin gelap... Cepatlah datang beli hai kauorang semua... kalau tidak rugilah aku hari ini, modal keluar juga. Kesian anak aku nanti bila berhari raya...baju lama juga nampaknya, mak bapak mentua ipar duai adik beradik tentu harap aku ada menghulur sepuluh dua... Inilah nasib bekerja sendiri.
Okay, nampaknya MD dah melalut, macam boleh baca fikiran orang lain je? Kalau benar, bagaimana? Jadinya, yang penting kita berusaha, jangan putus asa dari mengharap rahmat Tuhan. Dia adalah yang Maha Berkuasa. Mintalah apa saja dariNya kerana Dialah yang Maha Pemelihara. Wahai Tuhan yang Maha Memelihara peliharalah kami rakyat Malaysia dari segala bencana sebagaimana yang Engkau selalu Memelihara. Peliharalah kami dari pembaziran dan kerugian, tambahkan kami iman. Amin...

Episod 1

Bismillah.
Seperti orang lain mungkin, MD agak teruja juga kerana dapat mencatatkan sesuatu di sini, walaupun sebenarnya lebih untuk tatapan diri sendiri (syok sendiri). Yalah... siapalah nak baca, tambahan pula dengan ratusan laman blog yang lebih canggih, nama pulak `qwerty' , entah apa-apa ntah!
Mungkin seperti blogger yang lain, laman ini diharap dapat dijadikan satu bahan bacaan ringan sekadar tatapan (jangan dijadikan cemuhan sudahla...), boleh juga dijadikan panduan. Tetapi dalam keasyikan menaip, boleh juga terlepas catatan yang tidak bijak. Oleh itu pandangan dan komen membina dari bloggers di maya siber luar sana boleh juga di kongsi bersama.
Ramadhan ini tidak seperti Ramadhan yang lalu. Kali ini MD rasa lebih bersemangat untuk menghadapinya, dengan sedikit azam, MD nak cuba untuk kurangkan pembaziran. Tapi yalah.. baru minggu pertama. Jangan tak tau.. MD tak pergi jejak kaki lagi ke bazaar Ramadhan. Biasalah, kalau MD ke bazaar Ramadhan memang rambang mata, kurang-kurang RM 30 mesti melayang, macam-macam dibeli kalau nak disenaraikan memang tak cukup ruang!
Itu namanya lapar mata,uiiihhh semuanya sedap belaka! Aspek kebersihan tolak tepi, lauk pauk segala aneka pun dibeli (tak kira lauk jualan semalam tak habis, hari ini dijual semula, ada yang basi). Yang penting, bila MD ke bazaar Ramadhan, perasaan berdebar-debar kerana gembira setelah seharian berpuasa dapat pula berbuka dengan juadah istimewa. Itu yang rasa nak borong semua! Mujurlah, MD belum lagi ke bazaar. Kalau pergi... tak payahlah cerita ulang 2x. Bila berbuka, kena air teh 0 panas dua gelas..lega! Beli kuih dekat warung tepi jalan RM4 pun cukup. Lauk pauk masaklah sendiri.
Dalam cerita kejayaan tidak ke bazaar Ramadhan yang tumbuhnya bagai cendawan dengan hujan turun hampir setiap petang, MD juga cuba untuk tidak berbuka di hotel sekerap Ramadhan yang lalu. Minggu ini baru sekali. Itu adalah kejayaan besar. MD harap akan timbul kesedaran tentang hal ini dalam hati MD selamanya...
Salam.Hi there!